Wednesday, May 9, 2012

Refleksi Diri

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam.
Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Besar Kita Nabi Muhammad S.W.T.

Assalamualaikum buat pembaca budiman yang sudi bertandang ke laman kami yang tidak seberapa ini.

Bercakap tentang kesusahan, kebiasaannya disusuli juga dengan kemudahan. Dalam firman Allah ada menyebut, "sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan"
( al-Insyirah:5).
Tema yang ingin saya bawa pada ketika ini adalah sebuah diskusi menarik mengenai refleksi diri. Apakah itu refleksi diri? Jika ditanya kepada saya, saya juga kurang pasti makna yang sebenar, kerana ungkapan ini saya sendiri yang berikan dan terjemahannya juga saya ertikan. Refleksi bererti pantulan, ya! Pantulan sepertimana kita melihat kepada sebuah cermin yang melantunkan balik rupa kita yang asal. 

Sepanjang saya hidup lebih kurang 2 dekad ini, dalam pengamatan saya serta lumrah dunia kini, sering kali tingkah laku kita akan berbalik pada kita. Sebabnya apa? Dunia ini kan ibarat roda. Seringkali berputar. Adakalanya kita di bawah dan terkadang di atas. 


Ikhlas dalam pertolongan inilah satu permainan yang jarang sekali ditemui dalam diri setiap insan. Kalau kita zaman sekolah kecil-kecil dulu, selalu aja " Ala, buat apa nak tolong dia, dia bukan kawan kita pun". Betul tak?. Kalau dah besar sikit tu, ada lagi yang berbunyi, " Dulu kita tolong dia, dia tak nak pun tolong kita". Kan? Penah dengar tak?. Saya yakin pasti ada. Mungkin ketika itu kita belumcukup matang untuk memikirkan kemaslahatan kawan kita sekalipun dia bukan kawan kita mahupun sahabat, tak perlulah berfikir dua kali untuk menolong. Amalkan sikap tolong menolong sesama muslim, nescaya kita juga dibantu ketika saat diperlukan. Ikhlaskan diri kita, usah diungkit kisah silam. Pasti ganjaran besar menanti bagi si hamba beriman.

Saya seorang siswi yang sedang menuntut di bumi tuhan, tapi bukan di tanah kehidupan sendiri, seringkali menerima kunjungan pertolongan dari masyarakat tempatan. Meskipun saya tidak mengenali mereka, tapi atas dasar sesama insan yang bergelar muslim, mereka sentiasa menolong kami. Mungkin adanya keberkatan atas sebab musafir kelana kami di bumi tandus ini, atau jihad kami dari timur ke barat untuk menuntut mutiara berharga. Tentu saja kerana jiwa mereka sering sahaja mengamalkan sikap terpuji tersebut.

Sangat kagum saya dengan mereka. Pernah suatu ketika, saya berseorangan menaiki kenderaan awam untuk menziarahi teman-teman di luar kawasan tempat tinggal saya. Mungkin ketika itu pertama kali saya melangkah bersendirian, alangkah penuh tawakal saya kepada tuhan. Tiba-tiba saya menegur seorang ibu,"makcik, tahu tak bas nombor 4 atau 81 di mana ya?" Bahasa saya dikenalpasti olehnya bahawa saya adalah rakyat asing kerana lidah saya tidak bisa petah seperti mereka. Apa yang penting, mereka faham maksud saya." Jom, ikut makcik." Kemudian, berjalan kakilah kami ke tempat bas berikut. Bukan setakat 4, 5 minit, bahkan hampir 20 minit jugalah saya berjalan kaki dengan makcik itu.

Bersungguh benar dia menolong saya, padahal tidak sekalipun saya mengenalinya apatah lagi dia mengenali saya. Dalam perjalanan menuju ke perhentian tersebut, sempat jugalah saya berborak panjang dengan makcik itu, Rupa-rupanya ayahnya sedang sakit, dan dia minta doa supaya ayahnya lekas sembuh. Allahu Yachfih. Ameen.

Belum cukup setakat ini coretan saya, pabila dibuka lembaran pengajian di kuliah, sangat banyak kenangan untuk diceritakan. Bahkan tidak cukup dengan hanya menulis. Pendek kata, kita sebut aja satu masalah itu, terus ada jalan penyelesaian sama ada di balas dengan ucapan atau pertolongan. Allahu Akbar. Saya bakal merindui mereka. Musafirah kelana saya di sini, terdidik dengan sikap mereka, akan saya praktiskan meskipun dengan orang yang belum kenal. Incha Allah. Semoga diberkati segala usaha yang hanya sekecil cuma.

Ingatlah! Akan berlaku sebaliknya pada insan yang sukar menghulurkan bantuan, diri mereka sering ditimpa kesusahan. Setiap masalah yang datang usahlah kita mengeluh, kerana berkemungkinan di waktu susahnya orang lain, kita memang liat untuk memberi sumbangan. Cubalah baiki diri. Perbaiki tabiat buruk itu. Jadilah insan yang membantu tanpa diminta dan ikhlas dalam setiap langkah dengan manusia lain. 



@_@ SleepyGirlRightNow
10 May 01.51a.m ( Morocco Time)

0 comments:

Post a Comment