Bismillahirrahman Arraheem
Suara tangisan
kedengaran di hening subuh, sepasang suami isteri baru sahaja mendapat gelaran
ibu dan ayah. Tersenyum si ibu tidak menghiraukan kesakitan yang dialaminya, si
ayah mengucapkan syukur “Alhamdulillah”.
Zuriat merupakan
permata yang paling berharga bagi ibu dan ayah. Ibu dan ayah pula pengikat
kasih bagi si permata. Permata yang senantiasa dibelai lembut ibarat kain
sutera, dikasih dengan kasih dan sayang, dimanja setiap waktu dan ketika, ditanamkan dalam
jiwanya akidah yang jitu, diasuh dengan ibadah yang ikhlas, dididik dengan
akhlak yang mulia.
Hari berganti hari,
minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, permata ibu
dan ayah menjangkau dewasa…
Kasih sayang sebuah
keluarga disemai dari pengikat kasih .Tidak pernah putus dalam memberi cinta,
tidak kenal erti jemu memberikan kegembiraan dan ketenangan. Begitu kuat dan
tabah dua hati ini mengharungi suka dan duka, kepayahan dan kesukaran
menghasilkan nafkah kehidupan buat si permata hati.
Kini zaman semakin
moden, dunia ICT semakin maju, negara-negara mula untuk berlumba-lumba dalam
mencipta bangunan-bangunan pencakar langit, malah, gejala sosial semakin
berleluasa. Permata-permata mula merasa
seronok akan kemewahan dan kesenangan di dunia dengan hiburan yang melalaikan,
makanan dan minuman yang diimport dari luar, fesyen-fesyen pakaian terkini yang boleh mengaburi
mata-mata si pemakai, dan sebagainya.
Semuanya ini membuatkan si permata
terpedaya dengannya. Namun, dengan adanya pengikat kasih disisi si permata,
adanya bimbingan dan dorongan mereka,
adanya doa dan harapan mereka, membuatkan permata terhakis dengan unsur-unsur
yang merosakkan kehidupan si permata.
Duhai permata,
jadilah permata yang begitu berharga dan
bernilai buat ibu dan ayah, jadilah permata yang mendoakan kesejahteraan
mereka, jadilah permata yang menyinari kehidupan dunia dan akhirat mereka,
jadilah permata yang membanggakan dengan kejayaan ilmu yang penuh di dada,
jadilah permata yang membimbing tangan mereka ke syurga yang kekal abadi.
Duhai permata, jika
kau lemah, ambillah contoh semangat ibu dan ayah ketika mana mereka mengumpul
semangat membesarkanmu, Jika kau terlena, jadikan nasihat dan harapan ibu dan
ayah sebagai kesedaranmu sebagaimana tangisan comelmu yang membuatkan ibu dan
ayah terbangun dari lena di malam purnama, jika kau dihanyut ombak yang
menderu, jadikanlah ibu dan ayah sebagai pengayuh dan sampan yang
menyelamatkanmu.
Semoga
permata-permata yang lahir di dunia ini menjadi permata yang bersinar di
akhirat kelak.
Ikhlas dari kakak senior tersayang,
Assaadah Biyadillah,
9 Mac 2012,
Rabat, Maghribi.
Tukang catat : Bint Farid



