Thursday, May 10, 2012

Al-Kahfi

Bismillahirrahman Arrahemm..


Syukur kita kepada tuhan sekalian alam, kerana limpah kurnia dan inayah-Nya, kita masih lagi diberi peluang bernafas. Bayangkan pabila kita menutup rongga pernafasan, adakah mampu kita bertahan dalam seminit dua. Tak perlu tunggu seminit dua, tiga puluh saat sahaja belum tentu boleh. Jadi sentiasa menjadi hamba yang bersyukur di setiap detik perjalanan hari ke hari.

-----------------------------------------------

Masih terngiang-ngiang di telinga saya bacaan surah al-Kahfi dari ayah saya setiap hari Jumaat. Sekarang saya tidak mendengarnya lagi kerana saya berada jauh dari keluarga tercinta. Dengan itu, dengan sendirinya diri bertindak mengikut jejak langkah seorang ayah dalam mengamalkan bacaan al-Kahfi. Amalan yang didengari sejak kecil pasti melekat di benak seorang anak itu, apatah lagi jika ianya adalah alunan ayat suci al-Quran, terima kasih abah! Saya tidak perlu untuk menghempas pulas menghafal dengan susah, hanya kerana amalan yang dilakukan, setiap yang mendengar pasti beroleh istifadah.

Apa fadilat surah al-Kahfi? :

Surah Al-Kahfi adalah surah Al-Makkiyah yang memiliki seratus sepuluh ayat, begitu banyak hadits-hadits yang telah menceritakan kelebihan surah ini, sebahagian hadits yang datang dari Rasulullah SAW adalah apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari didalam kitab Shahihnya :

قال البخاري : حدثنا عمرو بن خالد : حدثنا زهير : حدثنا أبو إسحاق،عن البراء قال : كان رجل يقرأ الكهف وإلى جانبه حصان مربوط بشطنين، فتغشته سحابة فجعلت تدنو وتدنو، وجعل فرسه ينفر، فلما أصبح أتى النبي صلى الله عليه وسلم قذكر ذلك له، فقال : تلك السكينة تنزلت بالقرآن. صحيح البخاري كتاب فضائل القرآن، باب فضل الكهف، ص : 898 ، ط : دار السلام للنشر والتوزيع، الرياض

Artinya : Seorang lelaki sedang membaca Surah Al-Kahfi, di sisinya seekor kuda yang terikat dengan dua tali, maka awan pun datang menyelubungi, mendekat dan menghampiri, sehingga kuda lari terkejut, manakala dipagi hari beliau mendatangi Nabi SAW, dan menceritakan kejadian tersebut, maka bersabda Nabi : Itu adalah ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Qur`an, ( H.R Bukhari, kitab Fadha`il Al-Qur`an, bab Fadhli Al-Kahfi, halaman : 898 .

قال البيهقي : أخبرنا محمد بن عبد الله الحاقظ، أنبأنا أبو بكر محمد بن المؤمل، ثنا الفضل بن محمد الشعراني، ثنا نعيم بن حماد، ثنا هشيم أنبأنا أبو هاشم عن أبي مجلز، عن قيس بن عباد، عن أبي سعيد الخدري ، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة، أضاءله من النور ما بين الجمعتين. رواه البيهقي في السنن الكبرى في كتاب الجمعة، باب ماسؤمر به في ليلة الجمعة ويومها من كثرة الصلاة على رسول الله وقراءة سورة الكهف وغيرها ؟، مجلد 4، ص : 530 ط : دار الفكر

Artinya : Rasulullah bersabda: Barang siapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jum`at, Mkan Allah akan meneranginya dengan cahaya dari jum`at yang dia baca kepada jum`at yang brikutnya. ( H.R Baihaqi)


قال الحاكم : عن أبي بكر بن المؤمل: حدثنا الفضل بن محمد الشعراني، حدثنا نعيم بن حماد، حدثنا هشيم،حدثنا أبو هاشم، عن أبي مجلز عن قيس بن عباد ، عن أبي سعيد، عن النبي صلى الله عليه وسلم، أنه قال : من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة، أضاء له من النور ما بينه وبين الجمعتين، ثم قال : هذا الحديث صحيح الإسناد، ولم يخرجاه

Artinya : Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jum`at, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya diantara dua kali jum`at. ( H.R Hakim didalam Mustadrak)

قال السيوطي في الجامع الصغير : عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : من قرأ سورة الكهف يوم الحمعة أضاءله النور ما بينه وبين البيت العتيق ( هب ) عن أبي سعيد، ورمزه بالحسن

Artinya : Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jum`at, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya diantaranya dan Bait `Atiq.


Akhirnya, sama-samalah kita mengimarahkan surah ini, esok kan Jumaat, malam Jumaat( hari khamis) juga sudah dikira Jumaat.  :XD


Oleh: Bint Farid
1:37 p.m. 10 May 2012,
Teratak Mohamedia, Morocco.

Rujukan:
abusyahirah.blogspot.com

Wednesday, May 9, 2012

Refleksi Diri

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam.
Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Besar Kita Nabi Muhammad S.W.T.

Assalamualaikum buat pembaca budiman yang sudi bertandang ke laman kami yang tidak seberapa ini.

Bercakap tentang kesusahan, kebiasaannya disusuli juga dengan kemudahan. Dalam firman Allah ada menyebut, "sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan"
( al-Insyirah:5).
Tema yang ingin saya bawa pada ketika ini adalah sebuah diskusi menarik mengenai refleksi diri. Apakah itu refleksi diri? Jika ditanya kepada saya, saya juga kurang pasti makna yang sebenar, kerana ungkapan ini saya sendiri yang berikan dan terjemahannya juga saya ertikan. Refleksi bererti pantulan, ya! Pantulan sepertimana kita melihat kepada sebuah cermin yang melantunkan balik rupa kita yang asal. 

Sepanjang saya hidup lebih kurang 2 dekad ini, dalam pengamatan saya serta lumrah dunia kini, sering kali tingkah laku kita akan berbalik pada kita. Sebabnya apa? Dunia ini kan ibarat roda. Seringkali berputar. Adakalanya kita di bawah dan terkadang di atas. 


Ikhlas dalam pertolongan inilah satu permainan yang jarang sekali ditemui dalam diri setiap insan. Kalau kita zaman sekolah kecil-kecil dulu, selalu aja " Ala, buat apa nak tolong dia, dia bukan kawan kita pun". Betul tak?. Kalau dah besar sikit tu, ada lagi yang berbunyi, " Dulu kita tolong dia, dia tak nak pun tolong kita". Kan? Penah dengar tak?. Saya yakin pasti ada. Mungkin ketika itu kita belumcukup matang untuk memikirkan kemaslahatan kawan kita sekalipun dia bukan kawan kita mahupun sahabat, tak perlulah berfikir dua kali untuk menolong. Amalkan sikap tolong menolong sesama muslim, nescaya kita juga dibantu ketika saat diperlukan. Ikhlaskan diri kita, usah diungkit kisah silam. Pasti ganjaran besar menanti bagi si hamba beriman.

Saya seorang siswi yang sedang menuntut di bumi tuhan, tapi bukan di tanah kehidupan sendiri, seringkali menerima kunjungan pertolongan dari masyarakat tempatan. Meskipun saya tidak mengenali mereka, tapi atas dasar sesama insan yang bergelar muslim, mereka sentiasa menolong kami. Mungkin adanya keberkatan atas sebab musafir kelana kami di bumi tandus ini, atau jihad kami dari timur ke barat untuk menuntut mutiara berharga. Tentu saja kerana jiwa mereka sering sahaja mengamalkan sikap terpuji tersebut.

Sangat kagum saya dengan mereka. Pernah suatu ketika, saya berseorangan menaiki kenderaan awam untuk menziarahi teman-teman di luar kawasan tempat tinggal saya. Mungkin ketika itu pertama kali saya melangkah bersendirian, alangkah penuh tawakal saya kepada tuhan. Tiba-tiba saya menegur seorang ibu,"makcik, tahu tak bas nombor 4 atau 81 di mana ya?" Bahasa saya dikenalpasti olehnya bahawa saya adalah rakyat asing kerana lidah saya tidak bisa petah seperti mereka. Apa yang penting, mereka faham maksud saya." Jom, ikut makcik." Kemudian, berjalan kakilah kami ke tempat bas berikut. Bukan setakat 4, 5 minit, bahkan hampir 20 minit jugalah saya berjalan kaki dengan makcik itu.

Bersungguh benar dia menolong saya, padahal tidak sekalipun saya mengenalinya apatah lagi dia mengenali saya. Dalam perjalanan menuju ke perhentian tersebut, sempat jugalah saya berborak panjang dengan makcik itu, Rupa-rupanya ayahnya sedang sakit, dan dia minta doa supaya ayahnya lekas sembuh. Allahu Yachfih. Ameen.

Belum cukup setakat ini coretan saya, pabila dibuka lembaran pengajian di kuliah, sangat banyak kenangan untuk diceritakan. Bahkan tidak cukup dengan hanya menulis. Pendek kata, kita sebut aja satu masalah itu, terus ada jalan penyelesaian sama ada di balas dengan ucapan atau pertolongan. Allahu Akbar. Saya bakal merindui mereka. Musafirah kelana saya di sini, terdidik dengan sikap mereka, akan saya praktiskan meskipun dengan orang yang belum kenal. Incha Allah. Semoga diberkati segala usaha yang hanya sekecil cuma.

Ingatlah! Akan berlaku sebaliknya pada insan yang sukar menghulurkan bantuan, diri mereka sering ditimpa kesusahan. Setiap masalah yang datang usahlah kita mengeluh, kerana berkemungkinan di waktu susahnya orang lain, kita memang liat untuk memberi sumbangan. Cubalah baiki diri. Perbaiki tabiat buruk itu. Jadilah insan yang membantu tanpa diminta dan ikhlas dalam setiap langkah dengan manusia lain. 



@_@ SleepyGirlRightNow
10 May 01.51a.m ( Morocco Time)

Friday, March 23, 2012

Memori Terpahat di Dinding Hati


Assalamualaikum.

Gambar ini diambil pada bulan Ramadhan di Ekspo pada waktu malam selepas DANNY iftar di salah sebuah kedai makan di Bandar Jengka.

.
dulu satu negara, 
kini terbelah tiga, 
semoga kan bertemu semula,
bersama kejayaan yang nyata :)
.
Chaiyox DANNY !! sorang da nak grade !! yang lain fighting ^^.
 
.
<no idea lagi untuk dibawa bersama coretan~>

Sunday, March 11, 2012

Pengikat Kasih Buat Si Permata


Bismillahirrahman Arraheem

Suara tangisan kedengaran di hening subuh, sepasang suami isteri baru sahaja mendapat gelaran ibu dan ayah. Tersenyum si ibu tidak menghiraukan kesakitan yang dialaminya, si ayah mengucapkan syukur “Alhamdulillah”.


Zuriat merupakan permata yang paling berharga bagi ibu dan ayah. Ibu dan ayah pula pengikat kasih bagi si permata. Permata yang senantiasa dibelai lembut ibarat kain sutera, dikasih dengan kasih dan sayang, dimanja  setiap waktu dan ketika, ditanamkan dalam jiwanya akidah yang jitu, diasuh dengan ibadah yang ikhlas, dididik dengan akhlak yang mulia.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, permata ibu dan ayah menjangkau dewasa…
Kasih sayang sebuah keluarga disemai dari pengikat kasih .Tidak pernah putus dalam memberi cinta, tidak kenal erti jemu memberikan kegembiraan dan ketenangan. Begitu kuat dan tabah dua hati ini mengharungi suka dan duka, kepayahan dan kesukaran menghasilkan nafkah kehidupan buat si permata hati.

Kini zaman semakin moden, dunia ICT semakin maju, negara-negara mula untuk berlumba-lumba dalam mencipta bangunan-bangunan pencakar langit, malah, gejala sosial semakin berleluasa. Permata-permata  mula merasa seronok akan kemewahan dan kesenangan di dunia dengan hiburan yang melalaikan, makanan dan minuman yang diimport dari luar, fesyen-fesyen  pakaian terkini yang boleh mengaburi mata-mata si pemakai, dan sebagainya. 


Semuanya ini membuatkan si permata terpedaya dengannya. Namun, dengan adanya pengikat kasih disisi si permata, adanya bimbingan  dan dorongan mereka, adanya doa dan harapan mereka, membuatkan permata terhakis dengan unsur-unsur yang merosakkan kehidupan si permata.

Duhai permata, jadilah permata yang begitu berharga  dan bernilai buat ibu dan ayah, jadilah permata yang mendoakan kesejahteraan mereka, jadilah permata yang menyinari kehidupan dunia dan akhirat mereka, jadilah permata yang membanggakan dengan kejayaan ilmu yang penuh di dada, jadilah permata yang membimbing tangan mereka ke syurga yang kekal abadi.

Duhai permata, jika kau lemah, ambillah contoh semangat ibu dan ayah ketika mana mereka mengumpul semangat membesarkanmu, Jika kau terlena, jadikan nasihat dan harapan ibu dan ayah sebagai kesedaranmu sebagaimana tangisan comelmu yang membuatkan ibu dan ayah terbangun dari lena di malam purnama, jika kau dihanyut ombak yang menderu, jadikanlah ibu dan ayah sebagai pengayuh dan sampan yang menyelamatkanmu.

Semoga permata-permata yang lahir di dunia ini menjadi permata yang bersinar di akhirat kelak.

Ikhlas dari kakak senior tersayang,
Assaadah Biyadillah,
9 Mac 2012,
Rabat, Maghribi.


Tukang catat : Bint Farid